fb fb fb fb fb

Cadangan syarikat perladangan pajak tanah kerajaan, kembalikan faedah kepada rakyat akan dikaji- TPM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meninjau lokasi menaiktaraf jalan utama Parit 1 - Parit 10 pada majlis pecah tanah projek membina dan menaiktaraf jalan tersebut di Kampung Sungai Pergam hari ini / FOTO BERNAMA

BAGAN DATUK, 1 September- Majlis Ekonomi Bumiputera sedang meneliti cadangan supaya syarikat peladangan yang memajak tanah kerajaan untuk mengembalikan faedah syarikat bagi manfaat rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia sekiranya syarikat tersebut ingin melanjutkan tempoh pajakan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Kongres Ekonomi Bumiputera menjelaskan, bagaimanapun penelitian tersebut akan dilakukan secara menyeluruh sebelum ia dilaksanakan.

"Kita minta tanah tanah estet supaya apabila tamat tempohnya, lazimnya zaman Inggeris dulu berikan 99 tahun. Jadi kita minta, supaya tanah-tanah itu hanya 20 peratus saja.

"Apabila mahu disambung penggunaan tanah itu, 20 peratus diberikan balik kepada kerajaan negeri untuk kerajaan negeri mendapat faedah daripada tanah yang diberikan itu untuk dibangunkan demi rakyat. Dalam keadaan itu, jangan disalah anggap kerajaan memaksa dan sebagainya,"katanya.

Beliau ditemui media pada Majlis Pecah Tanah Projek Membina dan Menaiktaraf Jalan Utama Parit 1 hingga Parit 10 di Kampung Sungai Pergam, di Bagan Datuk.

Projek membabitkan kos RM 88 juta, itu merangkumi kerja-kerja naik taraf jalan sepanjang 4 km dan membina jalan baharu sepanjang 2.5 km yang akan menghubungkan jalan utama.

Jalan baharu berkenaan akan memudahkan penduduk setempat untuk ke Pekan Bagan Datuk.

Ia termasuk projek menaiktaraf jambatan sempit di simpang Masjid Al-Quro, Bagan Datuk.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE