KUALA LUMPUR, 13 Februari- Cadangan bagi melaksanakan sistem pembayaran tol aliran pantas pelbagai lorong (MLFF) masih lagi di peringkat perbincangan dengan beberapa pihak berkaitan.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, setelah selesai, cadangan tersebut akan dibentangkan bagi mendapatkan pandangan serta keputusan berhubung perkara berkenaan.
Tambahnya, Sebelum pelaksanaan, MLFF juga perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk kos serta kepentingan pemegang saham PLUS yang membabitkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Berhad.
"Untuk MLFF yang tunggal agak sukar untuk dilaksanakan kerana konsesi lebuhraya ada 33 konsesi lebuhraya lebih kurang 20 lebih kilometer separuh daripadanya oleh PLUS.
"PLUS itu milik 51 peratus KWSP, kita yang ada KWSP sama-sama memiliki PLUS, 49 peratus adalah daripada Khazanah.
"Jadi untuk MLFF ini kertas kabinet akan dibentang tidak berapa lama lagi untuk mendapatkan pandangan seterusnya," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan yang dikemukan oleh Ahli Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali di Parlimen.
Sementara itu, Datuk Seri Ahmad memaklumkan, Kementerian Kerja Raya (KKR) melantik PBH Asset Management Sdn. Bhd. (PBH Asset) bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak untuk tempoh tiga tahun bermula september tahun lalu.
Kontrak tersebut melibatkan peruntukkan sejumlah RM69 juta.
Jelasnya lagi, jika gagal syarikat berkenaan akan dikenakan penalti serta boleh diambil tindakan.
KKR turut menyediakan program penyenggaraan turapan berdasarkan notis kerosakan (NOD) yang disediakan pihak syarikat penyenggaraan.