fb fb fb fb fb

Cadangan pindaan Akta 655 bagi memerangi pencemaran air

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Cadangan pindaan terhadap Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) berpotensi meningkatkan hukuman bagi kesalahan pencemaran air sehingga sepuluh kali ganda berbanding akta sedia ada.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, menyatakan bahawa cadangan tersebut adalah sebahagian daripada usaha untuk memerangi pencemaran air.

"Kami akan mengadakan sesi libat urus dengan ahli-ahli Parlimen bagi memastikan cadangan pindaan akta ini mendapat sokongan penuh.

"Jadi memang sebenarnya daripada segi kuantum itu saya boleh sebutkan memang ada yang sampai lima hingga 10 kali ganda lebih berat berbanding dengan yang sedia ada," katanya ketika menghadiri acara pembersihan sungai di sini.

Tambah beliau, setiap kali pencemaran berlaku, ia bukan sahaja mencemari sumber air tetapi juga berpotensi menyebabkan penutupan sistem bekalan air atau gangguan kepada pengguna.

Pindaan berkenaan dijangka akan dibentangkan pada sidang Parlimen yang akan datang, dengan harapan akta itu lebih dinamik dan relevan mengikut perubahan semasa.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM