IPOH, 12 November- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan membincangkan cadangan menaikkan harga siling Beras Putih Tempatan (BPT) daripada RM2.60 kepada RM3.20, dalam masa terdekat.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pihaknya akan berbincang dengan tiga lagi kementerian berhubung perkara itu.
Perbincangan berkenaan membabitkan Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Ekonomi dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
"Perkara itu perlu dibincang kerana harga sekarang ini harga pada 2008, jadi perlu dikaji semula.
"Kena tengoklah sekiranya berlaku, pertama sekali bagaimana bebanan terhadap pesawah, pemborong, pengilang dan pengguna," katanya kepada pemberita pada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Dataran Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru, di sini.
Mengulas lanjut, Mohamad berharap situasi menang-menang dapat dicapai berhubung cadangan tersebut.