
PUTRAJAYA, 29 Januari – Dapatan Sesi Dialog Awam berhubung cadangan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet esok bagi mendapatkan persetujuan di peringkat dasar.
- Hasil Sesi Dialog Awam tentang had tempoh jawatan PM akan dibentangkan ke Kabinet untuk keputusan dasar.
- Langkah ini diperlukan sebelum sebarang Rang Undang-Undang berkaitan dibawa ke Parlimen untuk kelulusan.
- Cadangan sebahagian daripada komitmen Kerajaan MADANI untuk reformasi institusi, akauntabiliti dan ketelusan tadbir urus.
- Sesi dialog fokus kepada mewujudkan saluran kepimpinan baru dan mengelakkan penumpuan serta salah guna kuasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu penting sebelum sebarang Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan dibawa ke Parlimen untuk pertimbangan dan kelulusan.
Cadangan tersebut merupakan antara komitmen Kerajaan MADANI dalam melaksanakan reformasi institusi berteraskan prinsip akauntabiliti serta ketelusan tadbir urus negara.
“Ini adalah tawaran Kerajaan Perpaduan MADANI sebagai satu daripada kerangka akauntabiliti yang kita lihat pada tahun 2026.
“Untuk tahun ini dalam fasa untuk sidang parlimen pada sesi yang akan datang dan ini akan menjadi lepas kabinet bersetuju pada esok dalam isu dasar.
“Kita berharap boleh mendapat sokongan ahli-ahli parlimen untuk membawa pindaan ini kepada pindaan perlembagaan pada ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Sesi Dialog Awam Kerangka Akauntabiliti MADANI Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Datuk Seri Azalina turut menegaskan sesi dialog berkenaan bukan bertujuan menilai keupayaan mana-mana individu, sebaliknya memberi tumpuan kepada keperluan mewujudkan saluran kepimpinan baharu serta mengelakkan penumpuan dan salah guna kuasa.