Cadangan garis panduan tangani isu 3R dalam kalangan ahli parlimen diteliti

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Kerajaan akan meneliti cadangan untuk merangka garis panduan khusus bagi mengelakkan kenyataan menyentuh isu kaum, agama dan institusi diraja (3R) dalam kalangan Ahli Parlimen ketika berbahas di Dewan Rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Laporan akan dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul dalam masa terdekat.
  • Imuniti Dewan Rakyat tidak bermaksud kebebasan membuat kenyataan tanpa pertimbangan kesan.
  • Ahli Parlimen tidak boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat dengan kenyataan sensitif.
  • Semua pihak perlu fokus kepada agenda pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R. Yuneswaran berkata cadangan itu akan dikemuka dalam satu pertemuan bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul dalam masa terdekat.

“Mempunyai imuniti dalam Dewan Rakyat tidak bermaksud Ahli Parlimen bebas membuat kenyataan tanpa mengambil kira impaknya. Kita tidak boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

“Imuniti ini tidak bermaksud kita boleh mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti seperti 3R sewenang-wenangnya,” katanya semasa Pelancaran Malaysian Racism Report 2025 oleh Pusat Komas, di ibu negara, hari ini.

Tambah beliau, semua pihak termasuk ahli politik seharusnya memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat.