fb fb fb fb fb

Cabaran ikuti pengajian dalam suasana pandemik COVID-19 untuk bergelar pelajar cemerlang

KUALA KETIL 27 Mac- Pelbagai kekangan ketika sesi pengajian secara dalam talian di rumah sepanjang pandemik COVID-19 antara cabaran yang dihadapi pelajar cemerlang sempena Konvokesyen Ke -23 Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), di sini.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Dengan Kepujian, Hanis Sofia Mohd Norzalan menerima anugerah Jaizah Imtiyaz Tuanku Canselor, Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan merupakan satu-satunya calon bergraduasi Purata Markah Keseluruhan (PMK) 4.0.

Hanis antara 80 graduan pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen Ke-23 UniSHAMS yang disempurnakan oleh Sultan Kedah secara maya.

Penganugerahan istiadat disempurnakan Pro Canselor II UniSHAMS, Tun Zaki Tun Azmi.

Terdahulu Tuanku Canselor dalam titah ucapan menyeru pengurusan UniSHAMS memastikan infrastruktur sedia ada di kampus itu terus diperkukuhkan.


(Penerima anugerah Jaizah Imtiyaz Tuanku Canselor, Hanis Sofia Mohd Norzalan bersama kedua ibu bapanya)

“Institut pengajian tinggi UniSHAMS amat terkesan dengan COVID-19 yang melanda negara sejak 2020, namun beta berysukur dalam berdepan kemelut ini warga UniSHAMS tetap cekal meneruskan pengajaran dan pembelajaran dalam talian.

"Beta difahamkan pihak UniSHAMS dan pengurusan kerajaan negeri dalam proses membina bangunan asrama yang dapat memenuhi keperluan mahasiswa, harapan beta dengan terbinanya asrama baru ini akan dapat menarik lebih ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) serta pelajar antarabangsa untuk menyambung pelajaran ke UniSHAMS,” titah Sultan Sallehuddin.

Baginda juga mengharapkan UniSHAMS tidak hanya melahirkan para cendekiawan malah turut bertanggungjawab dalam memperkasakan hubungan universiti dan masyarakat khususnya komuniti Kuala Ketil dan sekitarnya.

Sementara itu Hanis ketika ditemui berkata kejayaannya juga didorong oleh kedua ibu bapanya yang mahu beliau cemerlang dan mendapat kepujian dekan setiap semester.

Anak pasangan guru dari 8 beradik ini kini melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Perasan saya sangat terharu dengan menjadi salah seorang penerima anugerah daripada Tuanku Canselor, sangat berbesar hati dengan anugerah yang diberikan,” katanya.

Dalam pada itu, UniSHAMS juga akan mengadakan majlis konvokesyen ke-22 yang tertangguh akibat pandemik COVID-19 pada 30 Mei ini dengan melibatkan 1,200 graduan.

Media Baharu