fb fb fb fb fb

Cabar undang-undang syariah, pihak berkuasa agama diminta jadi pencelah

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 7 Ogos- Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan, kerajaan akan sentiasa mempertahan dan menambah baik institusi kehakiman syariah di negara ini.
 
Justeru berkaitan kes Nik Elin Zurina Lawan Kerajaan Negeri Kelantan di Mahkamah Persekutuan, menterinya, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menyeru pihak berkuasa agama Islam negeri, badan-badan berkanun berkaitan agama Islam dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai kepentingan terhadap agama Islam untuk terlibat sama di dalam kes berkenaan sama ada sebagai pencelah (intervener), watching brief atau sahabat mahkamah (amicus curiae).
 
Menerusi satu hantaran video di laman Facebook, beliau menegaskan usaha bagi memartabatkan undang-undang Syariah merupakan tanggungjawab bersama bagi memastikan undang-undang yang telah digubal oleh Badan Perundangan Negeri dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
 
"Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Badan Perundangan Negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang kesalahan jenayah syariah bagi kesalahan-kesalahan berhubung  pelanggaran rukun-rukun Islam.
 
"Dalam hal ini, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa agama Islam negeri termasuk institusi perundangan dan kehakiman syariah yang terletak secara mutlak di bawah Sultan dan Raja Pemerintah setiap negeri bagi memperkasa undang-undang syariah, "katanya menerusi hantaran video tersebut.
 
Tahun lalu, seorang peguam kelahiran Kelantan dan anaknya mengemukakan cabaran Perlembagaan yang mendakwa 20 peruntukan yang terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah tidak sah kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan yang sama.
 
Kedua-duanya berpendirian, kuasa untuk menggubal undang-undang melibatkan perkara jenayah adalah di bawah bidang kuasa Parlimen manakala DUN hanya diberi hak untuk menggubal undang-undang berkaitan akidah Islam.
 
Justeru, kedua-dua individu berkenaan menggesa pihak mahkamah mengisytiharkan bahawa peruntukan tersebut batal dan tidak sah.


(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar)

Media Baharu