PUTRAJAYA, 13 Februari - Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah pesawat ringan model BK 160 Gabriel dengan nombor pendaftaran 1-P00C telah terhempas di Kapar, Klang pada Selasa.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata pesawat tersebut dikendalikan Air Adventure Flying Club dan telah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada pukul 1.28 petang untuk penerbangan rekreasi.
"Hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada pukul 1.35 petang, namun tiada panggilan kecemasan diterima.
"Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautikal Kuala Lumpur (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) diaktifkan serta merta untuk mengenal pasti lokasi pesawat," katanya menerusi kenyataan.
Tambah Kapten Norazman, terdapat dua penumpang termasuk seorang juruterbang berada dalam pesawat tersebut namun keadaan kedua-dua mangsa masih belum dapat dipastikan.
Beliau berkata, siasatan lanjut akan dilakukan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).