fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur dalam dagangan jajaran kecil

(Foto fail)

KUALA LUMPUR, 20 Jun- Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur pada Selasa, didagangkan berhati-hati dalam jajaran kecil dengan belian yang berselang-seli dengan jualan dalam saham wajaran terpilih, kata para peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.0 mata atau 0.07 peratus kepada 1,388.33 daripada paras penutup 1,387.33 pada Isnin.

Indeks utama dibuka rendah turun 0.09 mata kepada 1,387.24 pagi ini dan bergerak antara paras 1,383.86 dan 1,388.75 sepanjang sesi dagangan.

Bagaimanapun, di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 531 berbanding 313, manakala 408 kaunter tidak berubah, 1,031 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.85 bilion unit bernilai RM1.75 billion daripada 2.58 bilion unit bernilai RM1.47 bilion pada Isnin.

Seorang peniaga berkata prestasi bursa tempatan itu adalah seiring dengan bursa serantau lain yang kebanyakannya rendah apabila sentimen pasaran kekal lemah.

Para pelabur masih sedang mencerna penurunan kadar utama pinjaman China sebanyak 10 mata sambil menunggu kenyataan daripada Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell di hadapan kongres pada Rabu bagi mencari petunjuk hala tuju pasaran, katanya.

Penganalisis Kanan Malacca Securities Sdn Bhd Kenneth Leong berkata FBM KLCI mencatatkan pemulihan sederhana tetapi langkah-langkah yang diambil kerajaan China untuk memulihkan pertumbuhan ekonomi republik itu menerusi penurunan kadar berian pinjaman masih tidak mencukupi untuk meningkatkan sentimen.

"Juga, pengumuman beberapa inisiatif oleh kerajaan Malaysia untuk merangsang pasaran saham pada Isnin dianggap tidak mencukupi untuk meningkatkan sentimen dagangan.

"Kami menjangka aktiviti dagangan tidak berubah menjelang pilihan raya di enam negeri untuk menyediakan dasar ekonomi nasional yang lebih jelas.

"Dari segi teknikal, sekiranya paras ketahanan 1,390 dilepasi, paras ketahanan seterusnya dijangkakan pada 1,405 dan 1,412 manakala paras sokongan pada 1,372," katanya kepada Bernama.

Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong turun 1.54 peratus kepada 19,607.08, Indeks Komposit SSE China susut 0.47 peratus kepada 3,240.36, Kospi Korea Selatan jatuh 0.18 peratus kepada 2,604.91, Indeks Straits Times Singapura berkurangan 0.49 peratus kepada 3,225.13, manakala Nikkei 225 Jepun naik 0.06 peratus kepada 33,388.91.

Di bursa tempatan, saham wajaran tinggi Public Bank naik satu sen kepada RM3.88, CIMB meningkat enam sen kepada RM5.14 dan IHH Healthcare melonjak lapan sen kepada RM6, manakala Maybank dan Tenaga Nasional tidak berubah masing-masing kepada RM8.65 dan RM9.22.

Dalam kalangan kaunter cergas, Sarawak Consolidated dan RGB International meningkat 1.5 sen setiap satu masing-masing kepada 43.5 sen dan 31 sen, Tanco naik setengah sen kepada 51 sen, manakala YTL susut 8.5 sen kepada 88 sen dan Top Glove turun 4.5 sen kepada 87 sen.

Di papan indeks, Indeks Emas FBM turun 27.27 mata kepada 10,205.54, Indeks FBMT 100 susut 24.60 mata kepada 9,906.49, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 46.53 mata kepada 10,512.36, Indeks FBM 70 jatuh 167.73 mata kepada 13,381.35 dan Indeks FBM ACE turun 39.37 mata kepada 5,089.06.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga susut 9.03 mata kepada 780.0, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.29 mata kepada 158.04, Indeks Perladangan jatuh 14.34 mata kepada 6,740.37, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 40.29 mata kepada 15,313.51.

Jumlah dagangan Pasaran Utama melonjak kepada 1.96 bilion unit bernilai RM1.54 bilion daripada 1.78 bilion unit bernilai RM1.26 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 361.0 juta unit bernilai RM50.26 juta daripada 278.87 juta unit bernilai RM47.26 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 512.56 juta saham bernilai RM163.45 juta daripada 516.34 juta saham bernilai RM161.14 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 30.54 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (512.67 juta); pembinaan (83.96 juta); teknologi (149.72 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (57.32 juta); hartanah (249.74 juta); perladangan (50.23 juta); REITs (4.69 juta), dana tertutup (20,000); tenaga (141.19 juta); penjagaan kesihatan (142.39 juta); telekomunikasi dan media (55.39 juta); pengangkutan dan logistik (16.66 juta); dan utiliti (169.06 juta). -BERNAMA


(Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur dalam dagangan jajaran kecil)

Media Baharu