fb fb fb fb fb

KP Perak: Bunyi letupan, gegaran bukan gempa bumi, tiada latihan letupan

Ipoh, Perak

IPOH, 21 Oktober - Bunyi letupan disusuli dengan gegaran di beberapa kawasan di Perak tiada kaitan dengan kejadian gempa bumi di Indonesia.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris mengesahkan menerima maklumat berkaitan bunyi letupan dan gegaran yang berlaku di sekitar daerah itu lebih kurang pada pukul 11.06 pagi tadi.

"Hasil semakan dengan Jabatan Meteorologi mendapati tidak terkesan sebarang aktiviti seismik di sekitar daerah itu walaupun terdapat kejadian gempa bumi yang berlaku di Halmahera, Indonesia pada pukul 11.24 pagi tadi.

"Semakan dengan pihak Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta, mendapati tiada latihan berkaitan letupan dijalankan pada hari ini.

"Begitu juga semakan dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG), tiada letupan yang dijalankan di kuari sebelum pukul 12.00 tengah hari," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Azizi berkata, pihaknya sedang menyiasat mengenai insiden itu.

Susulan itu, beliau meminta orang ramai bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini sehingga mencetuskan kegusaran awam.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pusat kawalan Kontinjen Perak di talian 05-2451119 atau 05-2451073," katanya.

Terdahulu, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak mengesahkan tiada kerja peletupan batu dijalankan pada pagi tadi.

Media sebelum ini pernah melaporkan insiden gegaran seumpama itu pernah berlaku dua kali pada Jun 2012 dan 4 Oktober 2018.

Kedua-dua kejadian itu berlaku antara 11.00 hingga 11.15 pagi.

Sehingga kini, bunyi letupan disusuli dengan gegaran di beberapa kawasan di Perak masih lagi menjadi misteri buat penduduk sekitar Ipoh.

GRACE AISYAH KEDAYAN