fb fb fb fb fb

Bumbung pusat dialisis Hospital Lati runtuh

Bumbung pusat dialisis Hospital Lati, Pasir Mas, runtuh secara tiba-tiba tengah malam tadi.

KOTA BAHRU, 6 Februari - Bumbung Pusat Hemodialisis, Hospital Lati, Pasir Mas di sini runtuh dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 11.47 malam tadi.

Bagaimanapun, insiden itu tidak melibatkan orang awam.

Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Azmi Husin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi Sistem MERS 999 yang memaklumkan mengenai runtuhan bangunan di hospital berkenaan.

"Seramai lapan anggota termasuk pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas telah bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati memang berlaku runtuhan bumbung membabitkan pusat hemodialisis hospital itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihak bomba telah melakukan penilaian di dalam bangunan berkenaan bagi memastikan tiada sebarang kebakaran, letupan, atau pergerakan tanah yang boleh mengancam keselamatan.

Selain itu, pihaknya juga telah menghubungi Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menjalankan pemantauan lanjut di kawasan berkenaan.

GRACE AISYAH KEDAYAN