KUALA LUMPUR, 5 Oktober - Sambutan Bulan Kesedaran Disleksia Sedunia 2025 anjuran Dyslexia Genius Malaysia (DGM) terus menjadi platform penting dalam meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap disleksia serta mengiktiraf potensi luar biasa yang dimiliki oleh golongan berkenaan.
Pengasas DGM, Jaldeen Mohd Ali berkata, sambutan tahunan yang diadakan setiap Oktober itu bukan sahaja memberi pendedahan tentang cabaran yang dihadapi individu disleksia, malah membantu mereka membina keyakinan diri dan menyerlahkan potensi diri.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk persembahan yang membantu mereka menyerlahkan kelebihan dan kekuatan tersendiri.
"Apabila seseorang itu mengalami disleksia, mereka sering berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti masalah keyakinan diri, masalah keseimbangan, koordinasi serta daya ingatan yang lemah atau mudah lupa.
"Oleh itu, apabila mereka dilatih untuk membuat persembahan, mereka bukan sahaja didedahkan kepada aspek seni, tetapi juga dibimbing dalam aspek koordinasi contohnya jika mereka menari, mereka perlu belajar mengawal pergerakan badan. Ini secara langsung membantu mereka meningkatkan koordinasi dan keseimbangan.
"Selain itu, mereka turut dilatih untuk menguatkan daya ingatan, sama ada melalui hafalan lirik lagu atau susunan muzik yang dimainkan.
Tambah Jaldeen, sambutan tahun ini turut menonjolkan kreativiti pelajar disleksia melalui hasil karya mereka, termasuk rekaan corak baju yang digunakan sempena majlis berkenaan.
"Menariknya, sambutan kesedaran tahun ini turut menonjolkan kreativiti luar biasa yang dimiliki oleh anak-anak disleksia. Sebagai contoh, baju yang saya pakai hari ini menampilkan corak yang dilukis oleh salah seorang pelajar saya, dan rekaan keseluruhan baju ini juga dihasilkan oleh mereka sendiri," katanya pada Sambutan Sempena Bulan Kesedaran Disleksia Sedunia 2025 di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua PKR Cabang Ampang yang juga merupakan penghidap disleksia, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad, berkata keadaan itu bukan halangan untuk berjaya sebaliknya sebagai peluang untuk melatih dan menyesuaikan diri dengan keadaan baharu.
"Sebenarnya, disebabkan saya di diagnosis lewat, saya tidak melihatnya sebagai satu kesukaran atau cabaran. Ia hanya memerlukan latihan yang lebih dan juga melatih diri untuk membaca dengan cara yang berbeza.
"Dalam kehidupan seharian, saya membangunkan satu cara membaca di mana saya melihat beberapa objek dalam perkataan tersebut dan meneka apa perkataan itu berdasarkan konteks bacaan saya. Sama ada artikel, berita, atau fiksyen, daripada situ saya dapat memahami maksud perkataan yang saya baca," katanya.