Buku kanak-kanak ‘The Olive Tree That Remembered’ dilancar, tekankan kemanusiaan sejagat

FOTO RTM

PUTRAJAYA, 6 Februari – Sebuah buku kanak-kanak bertemakan kemanusiaan bertajuk The Olive Tree That Remembered dilancarkan hari ini sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penderitaan rakyat yang terkesan akibat peperangan dan ketidakadilan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Buku kanak-kanak menolak keganasan dan peperangan, menyerlahkan nilai kemanusiaan sejagat untuk semua pembaca tanpa memihak.
  • Penulis menegaskan buku berperanan sebagai saksi kepada penderitaan mangsa konflik di peringkat antarabangsa.
  • Isi mudah difahami semua lapisan masyarakat, sesuai untuk pendedahan awal kepada kanak-kanak mengenai isu perang.
  • Pentingnya pendidikan sejarah dan pengetahuan kolektif untuk membongkar naratif negatif terhadap Islam dan Palestin.

Penulis buku, Norashikin Abdul Latiff, berkata buku ini berperanan sebagai saksi kepada apa yang berlaku di luar negara dan menegaskan kandungannya tidak memihak mana-mana negara. Sebaliknya, buku ini menolak keganasan dan peperangan, serta sesuai difahami semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

“Dia tak boleh kata buku ini menegakkan hak mana-mana negara. Semua negara yang sedang melalui peperangan, sesiapa sahaja boleh faham mesejnya. Perperangan itu tidak betul,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Dasar & Penasihat Kehormat, Bantuan dan Kemanusiaan Malaysia (MAHAR),  Nurul Izzah Anwar, menekankan kepentingan ilmu dan pendedahan awal kepada kanak-kanak supaya memahami bahawa keganasan dan peperangan bukan sesuatu yang wajar dinormalisasikan.

“Menerusi ilmu dan pengetahuan sejarah dunia serta sejarah kita sendiri, rakyat Malaysia harus mendalami diri dengan ilmu. Kita bersama-sama mematahkan naratif negatif terhadap Islam dan Palestin. Ini adalah usaha kolektif,” kata beliau.