Bukit Malut bakal jadi hab akuakultur moden negara

Majlis Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM bersama nelayan Langkawi di LKIM Cenang

LANGKAWI, 8 April – Bukit Malut di sini bakal dijadikan Zon Ekonomi Perikanan Bersepadu menerusi pembangunan Langkawi Aquaculture and Fisheries Integrated Hub (LAFIH) yang diusahakan syarikat swasta Ausin 18 secara usaha sama dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Transformasi akuakultur moden sebagai hab stok simpanan ikan negara dan memperkukuh sektor akuakultur dalam kalangan nelayan.
  • Penubuhan pusat latihan teknologi perikanan moden menumpukan pembangunan modal insan nelayan dan pekerja akuakultur.
  • Inisiatif membuka peluang Persatuan Nelayan terlibat secara ekuiti bagi manfaat langsung kepada komuniti akar umbi.
  • Projek melibatkan ternakan udang dan ikan seperti bawal emas serta spesies berpermintaan tinggi; 31 nelayan terima bantuan peralatan.

Transformasi akuakultur moden yang kini dalam fasa penyediaan infrastruktur itu akan berfungsi sebagai hab stok simpanan ikan negara, sekali gus memperkukuh sektor akuakultur dalam kalangan nelayan.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata projek berkenaan turut memberi fokus kepada pembangunan modal insan melalui penubuhan pusat latihan teknologi perikanan moden.

Katanya, inisiatif itu akan membuka peluang kepada Persatuan Nelayan untuk terlibat secara ekuiti sekali gus memberi manfaat terus kepada komuniti akar umbi.

“Bidang akuakultur merupakan alternatif penting bagi memastikan rantaian bekalan makanan kekal mencukupi, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan krisis global.

“Walaupun kos permulaan agak tinggi, namun secara keseluruhan ia lebih rendah berbanding kos di laut, selain hasil yang lebih terjamin dan pasaran yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM bersama nelayan Langkawi di LKIM Cenang.

Tambahnya, selain ternakan udang, projek tersebut turut melibatkan penternakan ikan seperti bawal emas dan spesies lain yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran.

Dalam pada itu, seramai 31 nelayan menerima bantuan peralatan menangkap ikan dengan nilai keseluruhan RM51,425 pada majlis berkenaan.