KUANTAN, 13 Februari - Perbadanan stadium dan pihak berkuasa tempatan digalakkan untuk 'membuka pintu' stadium secara percuma bagi memberi ruang kepada masyarakat memanfaatkan fasiliti sukan yang ada di seluruh negara.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata melalui kaedah itu ia secara tidak langsung dapat menarik kunjungan orang ramai sekali gus menjana dana untuk stadium tanpa perlu bergantung kepada dana kerajaan persekutuan dan negeri.
Menurutnya lagi melalui kaedah tersebut golongan B40 turut mendapat manfaatnya.
"Dan bila pengunjung datang, pelajar datang, ibu bapa akan datang. Jadi dia ada peluang untuk buat pengiklanan untuk cari dana untuk stadium. Jadi kita sarankan untuk perbadanan stadium negeri juga buat perkara sama supaya yang pentingnya kanak-kanak ada akses kepada fasiliti sukan yang bagus.
"Daripada situ kita mampu mencari bakat dan minat untuk kanak-kanak untuk terlibat dalam sukan olahraga," kata Hannah kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Siap Kerja Trek Sintetik Stadium Darul Makmur, di sini.
Malah katanya, usaha sama juga telah dilakukan di Stadium Bukit Jalil sejak Oktober tahun lalu dengan membuka trek untuk kegunaan umum pada hari Isnin hingga Jumaat.
Hingga kini 17 sekolah telah menjalankan aktiviti hari sukan tahunan mereka di stadium itu secara percuma.
Projek yang siap sepenuhnya pada 29 Disember tahun lalu itu, diuruskan Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang, membabitkan peruntukan RM5 juta melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Ia melibatkan kerja-kerja penggantian trek sintetik, penukaran bangku di tempat duduk utama dan jaring di kawasan bumbung stadium.
Sementara itu, Hannah berkata kementeriannya menggalakkan program-program dan aktiviti sukan untuk golongan warga emas, seiring dengan konsep 'Gaya Hidup Sihat'.
Katanya, ia sebagai satu kaedah bagi memastikan mereka dapat memanfaatkan masa yang ada selepas bersarauntuk kekal sihat.
Kerajaan negeri juga wajar mempertimbangkan acara sesuai untuk warga emas sekiranya mengadakan aktiviti sukan.
Jelas beliau, 103 jenis sukan telah diwartakan di negara ini dan ada diantaranya boleh dilaksana melibatkan golongan itu.
"Minggu lepas kita telah adakan 'round table dialog' bersama-sama KKM, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Kementerian Ekonomi untuk melihat bagaimana secara dasar kita boleh galakkan gaya hidup sihat untuk warga emas ini sebab kita nak kurangkan kos rawatan. Kalau tidak ada program untuk warga emas tetapi kita hendak dia kekal sihat susah juga," katannya.
Mengulas lanjut beliau berkata, temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang diadakan secara dwi tahunan, mengehadkan penyertaan hanya kepada atlet berusia 21 tahun ke bawah.
Bagaimanapun katanya, Majlis Sukan Negara (MSN) kini telah diberi mandat untuk mewujudkan acara terbuka bagi penyertaan atlet dari pelbagai lapisan usia.