JOHOR BAHRU, 7 Oktober- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menjalankan siasatan lanjut terhadap tiga kenderaan asing yang dikesan mengisi minyak RON95 sejak pelaksanaan BUDI95 hujung bulan lalu.
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo menegaskan, semua aduan dan rakaman yang tular akan disiasat segera, termasuk semakan rakaman kamera litar tertutup di beberapa stesen minyak di Johor. Setiap kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
'Semua aduan serta video-video yang tular menjadi perhatian pihak kami. Tindakan lanjut akan diambil," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Bertemu Pelanggan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi Peringkat Negeri Johor di Johor Bahru.
Sejak Januari lalu, sebanyak 10 aduan diterima membabitkan kenderaan asing yang dikesan mengisi minyak RON95 di beberapa lokasi di Johor.