fb fb fb fb fb

BUDI95 : Orang ramai banjiri kaunter JPN & JPJ

Orang ramai mula membanjiri kaunter JPN dan JPJ bagi memperbaharui MyKad dan lesen

KANGAR, 26 September - Kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjadi tumpuan masyarakat di Perlis berikutan pengumuman subsidi bersasar petrol RON95 (BUDI95) oleh kerajaan.

Tinjauan RTM mendapati, kebanyakan pengunjung hadir untuk memperbaharui MyKad dan lesen memandu bagi membolehkan mereka menikmati subsidi berkenaan.

Suri rumah, Norina Baharin, berkata, “Bagi orang yang kurang berkemampuan dan selalu bergerak jauh, subsidi ini banyak membantu kurangkan beban harian.”

Manakala pesara, Mad Rozi Salim, menambah, “Tiada masalah pun untuk tunjuk MyKad kerana kita sentiasa membawanya bersama.”

Namun, ada juga cadangan supaya kerajaan meneliti semula inisiatif ini khususnya bagi golongan warga emas agar semua lapisan masyarakat dapat menikmatinya.

Afzanizam Abu Bakar, seorang penjawat awam berkata, “Untuk warga emas mungkin yang 50, 60  tahun ke atas tidak perlukan lesen kerana mereka hanya bergerak di kawasan kampung.”

Bermula semalam, semakan kelayakan BUDI95 boleh dilakukan, manakala subsidi tersebut akan dinikmati rakyat secara keseluruhan mulai 30 September ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE