fb fb fb fb fb

BUDI95: KPDN ambil tindakan tegas jika ada ketirisan

Foto BERNAMA

PAPAR, 11 Oktober - Siasatan dan tindakan segera akan diambil sekiranya terdapat aduan berkaitan ketirisan subsidi petrol BUDI MADANI RON95 (BUDI95) di stesen minyak.

Ketika memberikan jaminan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Ali berkata, pihaknya setakat ini belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung perkara seumpama itu.

Menurutnya, KPDN bersama Kementerian Kewangan (MOF) menggunakan sistem waktu nyata (real time system) bagi tujuan pemantauan untuk memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar layak.

"Setakat ini, kita tidak ada menerima aduan rasmi dan saya ingin sebutkan di sini yang paling penting kita pantau kita ada 'real time system' di antara MOF dan juga KPDN. Kita boleh melihat trend pembelian di stesen-stesen minyak itu," ujarnya.

"Kalau kita melihat ada unsur-unsur yang meragukan maka kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sebab kita buat penyasaran subsidi ini sama ada diesel ataupun petrol fokus utama yang saya sebutkan bukan untuk mengurangkan subsidi rakyat, tetapi untuk mengekang ketirisan, " tegasnya lagi.

Datuk Armizan juga berkata, kerajaan memandang serius kegiatan penyelewengan bahan api bersubsidi dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan.

EMMI NORALIZA ADNAN