
KUALA LUMPUR, 31 Mac – Mekanisme subsidi bersasar termasuk BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dilihat masih membantu rakyat dalam mendepani cabaran kos sara hidup ketika ini, meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
- Ekonomi Malaysia dalam fasa pemulihan pasca pandemik dengan pertumbuhan sederhana sekitar dua peratus, lebih terkawal berbanding negara jiran.
- Perubahan harga minyak dan kos logistik menjejaskan sekuriti makanan kerana pergantungan import, tetapi kesan dijangka berlaku lebih perlahan di Malaysia.
- Pola perbelanjaan berubah; 30 hingga 50 peratus tertumpu pada makanan dan penghantaran, rakyat digalakkan literasi kewangan dan sokong produk tempatan.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi MARA, Dr. Mohd Iqbal Mohd Noor berkata, secara keseluruhan keadaan ekonomi Malaysia masih terkawal berbanding beberapa negara jiran yang berdepan kesan lebih drastik.
“Negara ketika ini berada dalam fasa pemulihan pasca pandemik COVID-19 dengan kadar pertumbuhan ekonomi lebih sederhana sekitar dua peratus, berbanding lonjakan sebelum ini.
“Kerajaan masih memberi subsidi dan terus menjaga kebajikan rakyat. Impak daripada ketidaktentuan global belum dirasai sepenuhnya, namun langkah berjimat cermat amat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.
Selain itu perubahan harga minyak dan kos logistik turut memberi kesan rantaian kepada sekuriti makanan negara, susulan sebahagian besar bekalan makanan masih bergantung kepada import.
“Kos pengangkutan boleh mengganggu sekuriti makanan dan memberi kesan kepada harga di pasaran, namun kesannya di Malaysia dijangka berlaku lebih perlahan berbanding negara lain,” jelasnya.
Berkenaan pola perbelanjaan rakyat pula, ia turut berubah dengan sebahagian besar perbelanjaan dianggarkan sekitar 30 hingga 50 peratus.
Perbelanjaan tertumpu kepada makanan termasuk perkhidmatan penghantaran yang melibatkan kos tambahan.
Sehubungan itu, orang ramai disaran meningkatkan literasi kewangan, berbelanja secara berhemah serta menyokong produk tempatan bagi mengurangkan cabaran kos sara hidup.
“Ini bukan pilihan, tetapi kita perlu menyesuaikan diri seperti selepas pandemik. Dengan sokongan terhadap barangan buatan Malaysia dan pengurangan kos tidak perlu, kita mampu bertahan dan menjadi lebih baik,” katanya lagi.