fb fb fb fb fb

Budak 10 tahun mati lemas ketika berkelah

(Operasi mencari dan menyelamat mangsa,Muhammad Yusuf Khairuddin,
10 tahun akhirnya ditemui/ Foto BOMBA)

BALING, 27 April- Kepulangan beraya sebuah keluarga dari Petaling Jaya ,Selangor ke kampung mereka di Baling, Kedah berakhir tragedi apabila salah seorang  ahli keluarga mereka lemas.

Insiden itu melibatkan kematian Muhammad Yusuf Khairuddin, 10 tahun ketika dia berkelah bersama keluarganya di Loji Air Sungai Limau, Kupang, Baling.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mayat mangsa ditemui di dasar sungai kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi kali terakhir kanak-kanak itu dilihat.

Menurutnya, anggotanya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.10 petang hari ini memaklumkan kanak-kanak terbabit disyaki lemas di lokasi kejadian.

Kejadian berlaku ketika mangsa bersama tujuh ahli keluarga termasuk saudara mara sedang berkelah di tepi sungai itu kira-kira pukul 11 pagi.


(Lokasi yang membabitkan seorang kanak-kanak ditemukan lemas ketika
mandi-manda di Sungai Limau, Kupang di Baling / Foto PDRM)

“Hasil siasatan mendapati ibu mangsa sedang menyuap makanan kepada tiga anak kecil manakala mangsa telah turun ke sungai untuk mandi bersama adik beradik yang lain.

“Sedar akan mangsa hilang, ibunya mencarinya sebelum anak perempuannya berusia 13 tahun memberitahu melihat mangsa menuju ke arah saluran paip penyedut ban pasir.

“Operasi pencarian dilakukan dengan bantuan pihak bomba dan mangsa ditemui di permukaan dasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Shamsudin, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.

Media Baharu