ALOR SETAR, 7 April- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan serta-merta terhadap pemandu bas ekspres yang didapati membuat rakaman langsung melalui aplikasi TikTok ketika memandu, pada Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) ini.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan, berkata pihaknya akan menempatkan pegawai penyamaran di dalam setiap bas ekspres untuk memastikan tiada pemandu yang melakukan kesalahan itu.
Beliau berkata kerjasama orang awam merakam video atau gambar jika ada pemandu yang bertindak sedemikian juga sangat dialu-alukan.
"Sebelum ini, memang ada kes seperti ini tetapi untuk Ops HRA kali ini, belum ada aduan diterima setakat ini.
"Namun jika dikesan melakukan kesalahan itu, mereka boleh diambil tindakan terus. Bagaimanapun, perjalanan tetap boleh diteruskan," katanya kepada pemberita ketika menyertai Ops HRA 2024 di Terminal Bas Shahab Perdana, di sini, malam tadi.
Orang ramai boleh melaporkan sebarang aduan secara terus atau real time dengan menggunakan aplikasi My JPJ e-aduan@jpj atau emel
Sementara itu, Lokman memaklumkan lima pemandu bas ekspres didapati positif dadah jenis methamphetamine membabitkan dua di Sarawak; Kota Bahru, Kelantan (satu); dan Alor Setar (dua) sepanjang Ops HRA 2024 hingga kini.
Katanya, dua pemandu berusia 31 dan 67 tahun di Alor Setar terbabit dikesan mengambil bahan terlarang itu, ketika menjalani ujian saringan air kencing secara rawak di Terminal Bas Shahab Perdana, malam tadi.