fb fb fb fb fb

Buangan berminyak terus ke Sungai Teritip, punca bau busuk

Foto JAS

PEKAN, 4 September - Hasil siasatan mendapati bau busuk di Sungai Teritip, di tepi jalan utama Pekan-Rompin adalah berpunca daripada buangan berminyak yang disyaki dibuang terus ke dalam sungai terbabit.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan berkata, gerak kerja bagi menangani kes pencemaran itu telah diaktifkan berikutan terdapat penempatan berhampiran dengan lokasi kejadian.

"JAS telah mengambil sampel buangan di kawasan terbabit dan semua sampel telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk dianalisa. Selain itu, pihak HAZMAT JBPM Pahang turut menjalankan pemantauan udara dan gas bagi menentukan tahap keselamatan udara di sekitar kawasan terjejas," kata jawatankuasa itu.

Jelasnya, hasil pemantauan udara di semua lokasi sekitar tempat kejadian termasuk di Sungai Teritip berada pada paras normal.

Kerja-kerja pembendungan alurair telah siap dilaksanakan JPS Pekan dan kini sedang dalam peringkat tindakan kerja-kerja pembersihan kawasan terjejas.

Penduduk berhampiran dinasihat untuk memakai pelitup muka dan tidak menangkap ikan di kawasan tersebut.

"Sekiranya penduduk mengalami gejala gatal-gatal kulit, mata berair, sesak nafas dan loya serta pening kepala, mereka dinasihat untuk hadir atau menghubungi Klinik Kesihatan Nenasi segera. Siasatan bagi mengesan penjenayah alam sekitar ini sedang giat dijalankan," katanya.

Siasatan terhadap isu itu telah dijalankan pada 1 September lalu bersama-sama pihak Hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang di lokasi kejadian.

Orang ramai yang melalui Jalan Nenasi terutamanya kawasan Sungai Teritip pada 30 Ogos 2024 sekitar jam 6.00 petang hingga 8.00 malam dan mempunyai rakaman dashcam, dipohon tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi JAS di talian 09-5730636 atau 019-9151953.

TETITIA YUSOFF