fb fb fb fb fb

Buang sampah: RUU baharu dibentang pada Mac

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming/ BERNAMA

TELUK INTAN, 13 Januari- Rang Undang-Undang (RUU) baharu bakal diperkenal bagi menghukum individu yang didapati bersalah membuang sampah secara haram.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata, RUU itu akan dibentang pada sesi Dewan Rakyat, Mac ini.

RUU tersebut akan memperuntukkan hukuman khidmat masyarakat kepada pesalah.

Ia akan dikuatkuasakan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

"Peruntukan undang-undang untuk membenarkan mahkamah jatuhkan hukuman, kita naikkan kompaun tidak guna, RM300, RM500 orang boleh bayar. Tapi bila minta dia sapu jalan lima jam... dia tahulah, dia takkan buang sampah lagi.

"Saya tidak terima apa-apa alasan lagi, semua orang berpelajaran sekarang, takkan awak tak tahu yang sampah perlu dibuang ke dalam tong sampah", katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Jentera Baharu Majlis Perbandaran Teluk Intan, di Bangunan MPTI di sini.

Sepanjang tahun lalu, sebanyak 2,634 lokasi tapak pelupusan sampah haram ditutup hasil pembasmian dilaksanakan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di tujuh negeri.

ROSLINA BINTI DIN