KUALA LUMPUR, 30 November- Bank Simpanan Nasional (BSN) disaran menyediakan skim pinjaman pendidikan khas untuk aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata langkah itu bertujuan bagi membantu golongan belia di kawasan desa mendapat akses pendidikan.
Usaha berkenaan juga dilihat mampu meningkatkan modal insan serta taraf hidup masyarakat desa.
Jelasnya, BSN sebagai rakan strategik kementerian mampu menyokong pendidikan luar bandar dengan menawarkan pembiayaan yang lebih fleksibel.
Cadangan itu disampaikan menerusi teks ucapan beliau pada Majlis Sambutan Ulang Tahun BSN ke-50 yang diedarkan kepada media di ibu negara, hari ini.