ALOR SETAR, 27 September - Banci Pekebun Kecil Getah (BPKG) 2023 oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di Kedah yang bermula sejak 1 Julai lalu kiniĀ telah mencapai tahap 20 peratus.
Pengarah RISDA Negeri Kedah, Abdul Aziz Awang berkata, objektif pelaksanaan BKPG 2023 adalah untuk mengurus maklumat berkaitan pekebun kecil getah, selain mengumpul, menyimpan, menyelenggara dan menganalisis data berkaitan profil pekebun kecil, kebun dan data sosioekonomi pekebun kecil.
"Kita akan melihat berapa keluasan getah untuk kita merancang kaedah tanaman baharu, kemudian sosioekonomi pekebun kecil seisi rumah.
"Objektif RISDA ialah agar pekebun kecil memperoleh pendapatan RM4,500 sebulan menjelang akhir tahun 2025 sekeluarga. Kita melihat bagaimana caranya kita boleh tingkatkan lagi pendapatan pekebun kecil seisi keluarga", katanya kepada RTM selepas menjadi etamu program Wawancara bersama radio KEDAHfm di Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Kedah di sini.
Selain itu, RISDA turut menyediakan Bantuan Aktiviti Ekonomi Tambahan dan Agromakanan bagi membolehkan pekebun kecil meningkatkan pendapatan isi rumah.
Kali terakhir BPKG dilakukan ialah pada tahun 2013 menyaksikan seramai 73,642 penoreh getah dengan pemilikan tanah bertanam getah seluas 112,928 hektar, telah direkodkan.
(FOTO HIASAN/FOTO RTM)