BINTULU, 7 November- Maritim Malaysia Zon Bintulu berjaya menahan sebuah bot tunda yang didapati beroperasi tanpa nakhoda di perairan Bintulu.
Penahanan dilakukan sekitar 2.6 batu nautika dari Kuala Kemena pada pukul 9.30 pagi semalam.
Menurut Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine bin Abdullah, bot tersebut dikesan dalam operasi OP PERMAI 01/2019 dan OP TIRIS 3.0.
Pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan oleh dua kru warga tempatan, tiga warga Indonesia, tiga warga Myanmar, dan dua warga India, berusia antara 19 hingga 56 tahun.
Bot tersebut disyaki melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana tidak memaklumkan pertukaran nakhoda dalam sijil pendaftaran kapal, yang boleh dikenakan kompaun sebanyak RM2,500.
Bot dan kru kini ditahan di Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.