
PONTIAN, 23 Februari- Mayat seorang lelaki yang hilang selepas terjatuh daripada bot ketika memancing di sini pagi Ahad, ditemukan terapung pada pukul 10.30 malam tadi di tebing kiri menghala Pontian Besar.
- Mayat lelaki yang jatuh dari bot ketika memancing ditemui terapung kira-kira 200 meter dari lokasi terakhir dilaporkan hilang.
- Insiden berlaku selepas bot sewa dipercayai melanggar sebatang kayu, menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam sungai.
- Anak angkat mangsa, berusia 9 tahun, terselamat dengan berpaut pada bot; mayat dibawa ke hospital untuk bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata mayat mangsa ditemui kira-kira 200 meter dari lokasi terakhir dia dilaporkan hilang.
Mayat dibawa ke Hospital Pontian untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Terdahulu, media melaporkan, mangsa, Tan Siang Fook, 56, keluar memancing bersama anak angkatnya, 9, menggunakan bot sewa.
Selepas bergerak kira-kira 800 meter dari jeti, bot tersebut dilapor melanggar sebatang kayu menyebabkan mangsa jatuh ke dalam sungai.
Anak angkat mangsa terselamat selepas berpaut pada bot.