fb fb fb fb fb

Bot karam: Seorang mangsa ditemukan selamat

GEORGE TOWN, 16 Julai- Seorang daripada empat kru bot warga Indonesia yang dilaporkan hilang Rabu lepas selepas bot dinaiki mereka karam di perairan ditemukan selamat di pantai Pulau Kendi, dekat sini, semalam.

Zulham Efendi Marwani, 31, berkata beliau terapung di laut sejak Selasa lepas apabila bot kayu dinaikinya karam dan bergantung nasib dengan jaket keselamatan serta hanya meminum air laut untuk meneruskan hidup.

"Saya hanya fikirkan keselamatan sahaja dan sentiasa berdoa semoga selamat sama ada dibantu bot lain atau berjumpa kawasan pantai. Alhamdulillah akhirnya saya terdampar di pantai di sini (Pulau Kendi) dan sebuah bot nelayan membantu.

"Bot kami keluar dari jeti Tanjung Balai Asahan, Indonesia sejak Sabtu lepas dan sebenarnya mahu ke Satun, Thailand untuk mengambil barangan antaranya bawang dan buah-buahan namun bot yang dinaiki karam pada 12 Julai,” katanya yang ditemui di Jeti Pangkalan Pasukan Polis Marin di Batu Uban di sini, semalam.

Zulham Efendi berkata ketika kejadian, terdapat lima kru termasuk seorang nakhoda di dalam bot berkenaan dengan kesemuanya sempat memakai jaket keselamatan.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata pihaknya menerima laporan pada pukul 7.50 pagi semalam daripada bot nelayan tempatan yang memaklumkan menjumpai individu lelaki berada di pesisiran pantai Pulau Kendi.

Beliau berkata Zulham Efendi dijumpai dalam keadaan lemah sedang meminta bantuan dan keadaan mencurigakan di kawasan pantai itu sebelum dipindahkan ke bot APMM seterusnya dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut.

"Hasil keterangan awal, Zulham Efendi memaklumkan bahawa dia merupakan warga Indonesia serta seorang daripada kru bot yang karam dalam operasi mencari dan menyelamat yang diaktifkan sejak Rabu lepas,' katanya.

Pegawai Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang
menjalankan operasi mencari mangsa bot karam di perairan berhampiran Pulau Kendi
FOTO BERNAMA

Menurutnya mangsa pertama yang terselamat iaitu Aswin, 43, telah diserahkan kepada Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Pulau Pinang Bambang Suharto pada pukul 10.00 pagi semalam.

Semalam, Aswin ditemukan terapung di kedudukan lebih kurang 7.5 batu nautika dari barat Sungai Kongsi, Balik Pulau dekat sini pada pukul 12.25 tengah hari oleh bot nelayan sebelum dia diserahkan kepada APMM Pulau Pinang.

Operasi mencari dan menyelamat tiga lagi kru bot yang ditangguhkan pada pukul 7.30 malam tadi akan bersambung hari ini. -BERNAMA

Media Baharu