KUALA LUMPUR, 5 Mei - Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang menangkap ikan secara haram di perairan Morib ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim
Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor dalam operasi yang dilaksana SEMALAM.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh menerusi satu kenyataan memaklumkan, tangkapan dilakukan kira-kira pukul 12.15 tengahari ketika pihaknya sedang menjalankan rondaan rutin di kedudukan 11 batu nautika barat daya Morib.
“Vesel tersebut adalah sebuah bot fiber tiada nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan ditahan untuk diperiksa, pemeriksaan awal mendapati bot terbabit dikendalikan oleh seorang tekong lelaki, berumur 39 tahun, bersama dua awak-awak yang berusia 15 tahun merupakan anak lelakinya dan seorang lagi berusia 50 tahun. Ketiga-tiga mereka adalah warganegara Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan.
Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk melakukan aktiviti penangkapan ikan dan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985. Ketiga-tiga individu bersama vesel telah diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM), Pulau Indah untuk tindakan lanjut.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undangundang dan lesen sah. Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan khususnya di perairan negeri Selangor bagi membanteras aktiviti perikanan haram di perairan negeri ini,” tegasnya.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti penangkapan ikan tanpa lesen.