Borang Lampiran A hanya tangguh bayaran deposit bagi kes kritikal

Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA, 15 Mac – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menegaskan Borang Lampiran A di fasiliti kesihatan kerajaan digunakan hanya untuk kes kecemasan kritikal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Borang Lampiran A membolehkan rawatan segera tanpa menunggu bayaran deposit; bukan pengecualian bayaran untuk pesakit warga asing.
  • Dakwaan jururawat bahawa pesakit warga asing mengelak bayaran melalui borang perlu disahkan sebelum tindakan.
  • Siasatan rapi akan dijalankan dan maklumat pemberi maklumat perlu dihormati; whistleblower perlu dilindungi.
  • Tertakluk kepada penilaian pegawai perubatan pakar atau pengarah hospital; SOP bayaran pesakit warga asing mesti dipatuhi di semua fasiliti.

Ia bagi membolehkan rawatan segera diberikan tanpa menunggu bayaran deposit, bukannya sebagai pengecualian bayaran kepada pesakit warga asing.

Bagaimanapun dakwaan seorang jururawat terdapat pesakit warga asing mengelak bayaran rawatan hospital dengan penggunaan Borang Lampiran A, perlu disahkan terlebih dahulu bagi memastikan kesahihan perkara itu.

“Setakat ini, kami masih belum dapat mengenal pasti kesahihan perkara tersebut. Namun begitu, adalah penting untuk kita bertindak dan menjalankan siasatan yang lebih rapi kerana maklumat yang disalurkan perlu dihormati. Dalam masa sama, pemberi maklumat atau whistleblower juga perlu dilindungi.

“Borang Lampiran A pula hanya terpakai bagi kes-kes kritikal atau kecemasan yang mengancam nyawa, khususnya di Jabatan Kecemasan dan Trauma seperti kes kemalangan yang melibatkan soal hidup dan mati.

“Ia tertakluk kepada penilaian pegawai perubatan pakar, sama ada pakar kecemasan atau pengarah hospital, khususnya bagi hospital yang tidak mempunyai pakar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program ‘Kembara Beraya Bersama Cik Era’ dan ‘Pelancaran Cik Era’ di sini hari ini.

Datuk Seri Dr. Dzulkefly turut memaklumkan bahawa terdapat prosedur operasi standard (SOP) jelas berkaitan bayaran rawatan bagi pesakit warga asing di hospital kerajaan yang perlu dipatuhi.

Prosedur berkaitan pesakit warga asing terpakai di semua hospital dan fasiliti trauma di seluruh negara.

Menurut beliau, perkara itu telah dimaklumkan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Mahathar Abd Wahab dan satu perbincangan lanjut bersama pihak pengurusan tertinggi kementerian akan diadakan bagi meneliti isu tersebut dengan lebih terperinci.