SEREMBAN, 1 Disember - Kerajaan Negeri Sembilan hari ini membentangkan Belanjawan 2024 dengan tema 'Bersama Membina Negeri Madani' berjumlah RM555 juta dengan anggaran hasil sebanyak RM520 juta dan belanjawan pembangunan sebanyak RM140 juta.
Belanjawan 2024 Negeri Sembilan merupakan belanjawan defisit sebanyak RM35 juta.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun terdapat lima kad dan 10 teras yang dibentangkan untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun demi kesejahteraan rakyat.
"Jadi tahun 2024 adalah untuk kita melaksanakan janji kita kepada masyarakat kerana itu kita lihat dalam bajet ini tertumpu kepada untuk kita laksanakan tanggungjawab kita dalam kita melaksanakan janji atau manisfesto kita telah sampaikan pada masyarakat," kata Aminuddin pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sembilan Yang Ke-15 di DUN Negeri Sembilan.
Jelasnya, daripada RM555 juta menerusi belanjawan tersebut, sebanyak RM231.48 juta atau 41.71%telah diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai program serta projek bawah sembilan Teras Aspirasi dan Skim Sejahtera Rakyat.
Dalam pada itu, menerusi Belanjawan Negeri Sembilan 2024 Kerajaan Negeri Sembilan telah mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada 6,662 penjawat awam bawah pentadbiran kerajaan negeri sebanyak satu bulan setengah atau minimum RM2,500.
Aminuddin berkata, ia akan dibayar selewat-lewatnya penghujung Februari 2024 dan penghujung Mac 2024.
"Kita sedia maklum saban tahun kita telah melaksanakan bantuan kewangan, kalau tahun lepas kita beri satu bulan setengah dan pada tahun ini juga sama dan ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri kepada memastikan bahawa kita hargai mereka supaya mereka dapat meneruskan kerja-kerja keras mereka," katanya.
Tambahnya, selaras dengan tema Belanjawan Negeri Sembilan 2024 beliau menyeru agar semua penjawat awam berganding bahu melaksanakan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan rakyat.