BAGAN SERAI, 1 Ogos - Sebanyak 56 daripada 58 ekar kawasan belukar yang terbakar di Kampung Tersusun Tebuk Panchor, Gunung Semanggol, berjaya dipadamkan setakat ini.
Kebakaran yang memasuki hari kedua itu melibatkan operasi besar-besaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak sejak semalam.
Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata, seramai 35 anggota bomba dari 11 balai bersama 10 anggota bomba sukarela terlibat dalam operasi.
Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.31 petang semalam, dan jentera pertama tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian.
Operasi pemadaman menggunakan kaedah 'ground attack' dengan bantuan pam jentera dan aliran air sepanjang 1,000 kaki.
Kawasan operasi dibahagikan kepada empat sektor bagi memudahkan kawalan dan penyelarasan.
Turut digerakkan, pesawat AW139 milik JBPM yang telah melakukan 20 kali ‘water bombing’ bagi membantu kawalan kebakaran dari udara.
Antara cabaran utama yang dihadapi termasuk kehadiran talian elektrik voltan tinggi serta kawasan pengambilan air yang cetek dan berlumpur.
Operasi ditangguhkan pada pukul 7 malam tadi dan akan disambung semula pada pukul 8 pagi esok.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan