fb fb fb fb fb

Bomba Pahang siasat punca letupan kebakaran termasuk mercun dan bunga api

KUANTAN, 28 APRIL - Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang akan melakukan siasatan dari pelbagai aspek punca kebakaran dua buah rumah jenis Semi-D setingkat sehingga menyebabkan berlakunya letupan Jalan Permatang Badak Perdana 2, awal pagi tadi.

Pengarahnya Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, pihak bomba tidak menolak kemungkinan kebakaran dan letupan besar itu berpunca daripada dapur gas atau bahan-bahan lain seperti bunga api atau mercun.

“Kalau kita lihat dalam kejadian ini, mungkin ada satu bahan yang menyebabkan berlaku letupan sama ada dari dapur masak gas atau bahan-bahan lain dan kita masih siasat.

“Kita akan jalankan siasatan terperinci supaya dapat pengesahan apa yang sebabkan punca letupan, kalau saya tengok ada selinder gas, bahan bunga api …kalau betul bunga api dan mercun banyak mana kapasitinya sehingga menyebabkan kejadian letupan yang begitu teruk.

"Bagaimanapun, bomba tak pasti lagi apa yang menyebabkan letupan begitu dasyat sekali," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.


(Dua orang mangsa cedera dalam kebakaran yang berlaku pada pagi tadi/FOTO Bomba Pahang)

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi tadi, dua buah rumah terbakar mengakibatkan seorang kanak-kanak lelaki dua tahun maut, serta lima lagi cedera termasuk bayi lapan bulan manakala tiga lagi selamat.

Kebakaran ini juga melibatkan sebuah kereta dan sebuah motorsikal hangus terbakar manakala dua kereta dan sebuah motorsikal lain mengalami kerosakan teruk.

Media Baharu