KUANTAN, 14 Oktober- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menasihatkan semua peminat aktiviti riadah serta rekreasi di kawasan gunung dan air terjun di negeri itu supaya menangguhkan sementara aktiviti berkenaan.
Pengarahnya Datuk Ir Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata ini berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini susulan peralihan Monsun Barat Daya kepada Monsun Timur Laut yang berpotensi mendatangkan pelbagai bencana dan hujan lebat.
"Tangguhkan dulu kerana keadaan cuaca tidak menentu. Di kawasan air terjun, kemungkinan berlaku kepala air, dan di kawasan mendaki keadaan mungkin licin dengan angin kuat yang boleh menyebabkan pokok tumbang," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penutup Latihan Pengurusan Bencana (Disaster Management Exercise, DMEX) Gebeng Emergency MTBE PDH Exercise (GEMPEX) 11 tahun 2024 di Kawasan Perindustrian Gebeng di sini hari ini.
Mengulas mengenai kejadian banjir di daerah Temerloh sejak semalam, beliau menyatakan kejadian itu berpunca limpahan aliran air Sungai Semantan yang melimpah ke kawasan Lanchang, Mentakab dan Batu Kapur.
Namun, katanya, keadaan sudah beransur pulih berikutan cuaca bertambah baik sepanjang hari ini.
Dalam perkembangan lain, bomba dan agensi lain sedang berusaha menyelamatkan seorang pendaki wanita yang cedera parah akibat dihempap pokok tumbang di Gunung Tahan, awal pagi tadi.
Wanita, 49, itu didapati tidak sedarkan diri dan mengalami patah pada bahagian pinggang ketika tidur dalam khemah di Kem Seputih.
Difahamkan, mangsa bersama pasukannya melakukan pendakian ke Gunung Tahan bermula melalui Sungai Relau, Merapoh pada 7 Oktober lalu dan dijangka turun semalam.
Bomba juga sedang mempertimbangkan untuk menggunakan helikopter bagi mengeluarkan mangsa dari lokasi kejadian kerana perjalanan menggunakan jalan darat mengambil masa kira-kira selama dua hari.