fb fb fb fb fb

Bomba nafi tiga kanak-kanak maut dalam kebakaran rumah

Tangkap layar video sebuah rumah terbakar di Jalan Putra, Alor Janggus semalam

ALOR SETAR, 15 Mei- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menafikan tiga kanak-kanak maut akibat terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah dua tingkat di negeri itu berikutan video kebakaran tersebut tular di media sosial .

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah dalam satu kenyataan berkata, kejadian itu berlaku di Jalan Putra, Alor Janggus semalam.

Ia berikutan tular sebuah video berdurasi 14 saat hari ini memaparkan kebakaran sebuah rumah dan dalam video berkenaan turut kedengaran seperti terdapat jeritan mangsa terperangkap meminta pertolongan.

Berdasarkan laporan awal terdapat seorang kanak-kanak yang sedang tidur di dalam rumah terbabit, namun kanak-kanak berkenaan sempat menyelamatkan diri.

Setelah berjaya keluar, kanak-kanak terbabit memberitahu dua lagi adiknya berada di dalam rumah itu tetapi sebenarnya kedua-dua adiknya tiada di rumah ketika kejadian.

'Pada mulanya memang ada budak di dalam rumah tengah tidur tetapi dia (kanak-kanak) itu sedar rumah terbakar. Dia lari keluar beritahu dua adik dia ada di dalam rumah.

"Sebenarnya adik-adik tiada di rumah, seorang pergi kelas agama dan seorang lagi ikut mak dia. Kejadian itu memang tidak melibatkan mangsa," katanya.

Ahmad Naufal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu kira-kira pukul 4.27 petang dan mengerahkan pasukannya serta jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar serta BBP Jalan Raja ke lokasi kejadian.

Setibanya bomba dilokasi didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat itu musnah 90 peratus.

Manakala sebuah lagi rumah dan sebuah kereta yang terletak berdekatan terbakar kira-kira lima peratus akibat bahang api kebakaran.

Kebakaran dapat dikawal pukul 4.55 petang.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI