fb fb fb fb fb

Bomba Negeri Sembilan siap siaga menghadapi peralihan monsun

Foto BERNAMA

SEREMBAN, 8 Mei- Seramai 1,221 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan bersiap siaga bagi menghadapi peralihan monsun yang dijangka berakhir pada Mei depan.

Pengarahnya, Abdul Khair Osman berkata 17 lokasi hotspot kejadian kepala air telah dikenal pasti antaranya Taman Eko Rimba Ulu Bendul, Jeram Kenaboi, Gunung Berembun dan Taman Rekreasi Rimba Sungai Talan.

"Jadi sudah tentulah tiba musim cuti sekolah nanti insha-Allah kami akan meningkatkan rondaan di kawasaan tersebut dari semasa ke semasa demi keselamatan pengunjung sekiranya berlaku kepala air.

"Tindakan pantas boleh dilaksanakan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri JBPM Negeri Sembilan di sini.

Tambahnya, pengunjung turut diingatkan untuk menjauhi tempat yang dikategorikan sebagai kawasan larangan mandi sebagai langkah keselamatan.

Sementara itu, seramai 1,300 orang pengunjung yang terdiri daripada anggota, ahli keluarga, rakan strategik jabatan serta masyarakat setempat hadir pada majlis tersebut.

Turut hadir  Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan isterinya, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof serta Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM