GEORGE TOWN, 20 Mei - Sebutir bom jenis unexploded ordnance (UXO) disyaki masih aktif dan dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua ditemukan di tapak pembinaan di Jalan Seri Tanjung Pinang, Tanjung Tokong di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan bom itu pada 9.42 malam.
"Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang telah dipanggil untuk memeriksa dan menyahaktifkan objek tersebut. Hasil pemeriksaan, UPB mengesahkan bahawa objek itu merupakan bom jenis UXO tinggalan Era Perang Dunia Kedua.
"Tiada kemalangan jiwa mahupun kerosakan harta benda dilaporkan dalam kejadian ini," katanya.
Abdul Rozak berkata pemeriksaan oleh UPB turut mengesahkan lokasi kejadian selamat dan bom tersebut akan dilupuskan hari ini.