fb fb fb fb fb

Boleh kritik kerajaan, tetapi ada had dalam isu 3R - Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim/Tangkap layar Youtube Al-Jazeera

KUALA LUMPUR, 21 Mei- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui terdapat had kepada kebebasan media, terutamanya berkaitan perkara sensitif seperti kaum, agama dan raja (3R).

Beliau memaklumkan perkara itu ketika menjadi tetamu dalam program 'Talk To Al Jazeera', pada masa sama beliau juga tidak membenarkan tindakan yang boleh mencetuskan rusuhan atau membahayakan keselamatan awam.

"Bawah pentadbiran ini, kerajaan tidak pernah menahan mana-mana wartawan atau mengharamkan mana-mana surat khabar kerana mengkritik kerajaan.

"Namun kerajaan juga tidak akan berkompromi dengan pihak yang menyentuh institusi raja Melayu," katanya ketika mengulas mengenai kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang disiarkan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) pada Mei lalu.

Ini kerana dalam melaksanakan kebebasan media banyak perkara perlu diteliti supaya ia tidak memberikan kesan terhadap orang ramai, yang berpotensi mewujudkan keadaan harmoni.

Malaysia turun 34 anak tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 dan berada pada kedudukan 107 berbanding 73 pada tahun lepas dengan skor 52.07 mata.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI