KUALA LUMPUR, 4 Mac- Bank Negara Malaysia (BNM) menambah baik dasar sedia ada dengan menekankan prinsip 'kebertanggungjawaban bersama', ke arah memperkukuh perlindungan terhadap hak pengguna.
Ini bagi kes-kes yang jelas melibatkan kelemahan daripada kedua-dua pihak iaitu bank dan juga pelanggan.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata secara amnya, ia merangkumi kes-kes yang berpunca daripada kegagalan pihak bank menyekat transaksi mencurigakan, gagal mengenal pasti transaksi berulang dalam masa singkat serta transaksi yang tidak biasa dilakukan pelanggan.
Ini termasuk kecuaian pelanggan semasa melakukan transaksi dalam talian.
"Dengan pelaksanaan dasar ini, beban kerugian bagi kes sedemikian tidak seharusnya ditanggung sepenuhnya oleh mangsa. Mangsa berhak untuk mendapat pampasan yang sewajarnya.
Sebarang kes siasatan yang tidak berpihak kepada pelanggan adalah tertakluk kepada semakan bebas (independent review) untuk memastikan penilaian yang objektif," kata Lim di Parlimen, hari ini.
Dalam pada itu, Lim menjelaskan, dasar baharu itu juga menekankan tanggungjawab pengguna sebagai benteng utama dalam menangani isu penipuan perbankan dalam talian.
Tujuannya, supaya pengguna sentiasa berwaspada dalam melindungi butiran keselamatan peribadi.
Para pengguna diingatkan untuk tidak memuat turun aplikasi daripada sumber tidak dipercayai serta menukar kata laluan secara berkala bagi memastikan tahap keselamatan berada pada tahap yang baik.
"Bagaimanapun, masih ada pengguna yang secara sukarela mendedahkan butiran keselamatan peribadi dengan memuat turun aplikasi dari sumber yang tidak dipercayai, menyebabkan transaksi tanpa kebenaran.
"Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan dari Segi Permintaan 2021 mendapati 37 peratus responden secara sukarela berkongsi kata laluan perbankan mereka dengan rakan rapat, 62 peratus tidak mengendahkan ciri-ciri keselamatan laman sesawang bank yang dilayari manakala 89 peratus jarang menukar kata laluan mereka.
Penambahbaikan ini bukan sahaja bersifat lebih adil terhadap kedua-dua pihak, malah juga membentuk masyarakat yang lebih cakna dan berwaspada," tambah Lim.