fb fb fb fb fb

BNM diminta permudah pinjaman perumahan B40 dan M40

FOTO PMO

KUALA LUMPUR, 10 Februari - Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) meminta Bank Negara Malaysia (BNM) melihat kembali model pembiayaan perumahan untuk golongan B40 dan M40.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia bagi memastikan institusi kewangan mempermudah pinjaman untuk kumpulan tersebut membeli rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan rumah mampu milik.

Menurutnya, semua pihak perlu memainkan peranan supaya sasaran Satu Keluarga Satu Rumah dapat direalisasikan.

"Kerajaan Persekutuan akan memberi subsidi dan kerajaan negeri menyediakan tanah manakala bank mempermudahkan pembiayaan bagi memastikan harga rumah PPR dan rumah mampu milik dapat dijual dengan harga yang berpatutan.

"Kerajaan komited untuk menyediakan rumah mampu milik untuk generasi muda selain memberi tumpuan kepada pembinaan rumah mampu milik di bandar kecil dan pinggir bandar untuk meningkatkan peluang golongan M40 membeli rumah," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) secara telesidang.

Mesyuarat turut dihadiri Menteri Besar dan Ketua Menteri; Menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara serta Gabenor Bank Negara.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat turut membincangkan strategi penyediaan dan pelaksanaan 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) melibatkan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak pemaju perumahan swasta.

"Kerajaan komited memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.

"Oleh itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memperkenalkan Home Ownership Programme (HOPE) bagi melihat ekosistem yang lebih menyeluruh dalam penyediaan perumahan, pembiayaan perumahan serta program-program yang dapat membantu Keluarga Malaysia dalam pemilikan perumahan," katanya.

MPMMN turut bersetuju menetapkan hala tuju baharu Program Perumahan Rakyat (PPR) yang mengambil kira keperluan semasa serta memasukkan komponen baharu ke arah menjayakan agenda Malaysia Berdaya Huni.

"Pembinaan PPR baharu akan mengambil kira elemen seperti keterhubungan dan akses internet seperti 'fibre to the home' (FTTH), jaringan hubungan pengangkutan awam serta reka bentuk yang lebih ekonomik dan lebih selesa," tambah kenyataan itu.

Dalam mesyuarat itu, Ismail Sabri berkata turut dibincangkan mengenai kos bahan binaan seperti besi dan keluli yang semakin meningkat serta penguasaan kartel dalam industri pembinaan.

Katanya, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) diarah supaya menangani perkara ini.

"Jika ia berpunca daripada permit import (AP), mesyuarat mencadangkan supaya ia dibuka kepada semua," katanya.

Media Baharu