fb fb fb fb fb

BN sokong mana-mana calon mewakili Kerajaan Perpaduan

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir

SERDANG, 7 Jun- Barisan Nasional (BN) menyokong sesiapa sahaja calon yang dipilih mewakili Kerajaan Perpaduan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Perkara itu terutamanya untuk memastikan calon tersebut menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap pada Julai depan.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan perkara itu ketika mengulas mengenainya.

"Maknanya, semua pihak dalam konteks Kerajaan MADANI ini akan memberikan kerjasama yang mantap dalam memastikan kejayaan calon kita. Jadi soal siapa nak jadi calon daripada BN, tidak ada. Tidak timbul lagi.

"...dan kita tahu bahawa kawasan itu sebelum ini adalah sebelah PH. Jadi, kita menghormati tradisi itu. Tetapi yang paling mustahak ialah semangat kebersamaan yang kita bincang bersama-sama dan telah dipersetujui calonnya nanti, yang akan diumumkan secara rasmi oleh pihak pimpinan kita," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran 'Blueprint' Keterjaminan Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 6 Julai depan dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 22 Jun (Sabtu) dan 2 Julai (Selasa).

Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff, 56, pada 24 Mei lepas semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI