(Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu dibuat atas semangat
perkongsian politik dalam Kerajaan Perpaduan)
KUALA LUMPUR, 3 Ogos- Barisan Nasional (BN) akan memberi laluan kepada Amanah untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor pada bulan depan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu dibuat atas semangat perkongsian politik dalam Kerajaan Perpaduan.
"Kita amat menghormati kebersamaan dalam Kerajaan Perpaduan dan kita tahu bahawa kerusi Parlimen Pulai adalah hak parti Amanah iaitu rakan politik dalam kerajaan dan mereka adalah penyandang. Yang keduanya kerusi DUN Simpang Jeram juga kepunyaan parti Amanah.
"Maka atas semangat Kerajaan MADANI, kita akan dukung kedua-dua kerusi itu ditandingi rakan-rakan parti Amanah," kata Ahmad Zahid kepada media selepas melancarkan program TVET JELITA di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 9 September.
(Datuk Seri Dr Ahmad Zahid semasa melancarkan program TVET JELITA di Pusat Dagangan
Dunia Kuala Lumpur)