
IPOH, 24 Februari– Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri 2026 sebanyak RM1,500 diberikan kepada 11,261 penjawat awam negeri Perak yang akan disalurkan pada 16 Mac ini.
- BKK Aidilfitri 2026 sebanyak RM1,500 akan diberikan kepada penjawat awam negeri Perak.
- Penerima termasuk guru lantikan negeri, OBJ, pekerja sambilan harian dan pegawai MYSTEP.
- Guru KAFA dan Pengerusi JPKK menerima bantuan RM500 seorang.
- Jumlah implikasi kewangan kepada kerajaan negeri ialah RM16.9 juta.
Pengumuman itu dibuat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Katanya, pemberian itu turut melibatkan guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan (OBJ), pekerja sambilan harian serta pegawai bawah Program Pekerjaan Jangka Pendek Malaysia (MYSTEP).
Jelas beliau, BKK Aidilfitri 2026 itu juga akan diberikan kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dengan kadar RM500 seorang.
“Kita akan bergerak bekerja lebih keras daripada kerja keras itulah maka kita akan dapat memberi hasil yang baik kepada negeri kita.
“Saya nak minta saudara saudari penjawat-penjawat awam untuk terus bekerja kuat supaya dalam tempoh sebulan Ramadan ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar bersama penjawat awam negeri di Laman Seri Ridzuan, di sini.
Beliau berkata pemberian BKK Aidilfitri itu membabitkan implikasi kewangan keseluruhan berjumlah RM16.9 juta kepada kerajaan negeri.