fb fb fb fb fb

BKK Aidilfitri: Penjawat awam syukur, lega buat persiapan raya

Laporan RTM

KUALA LUMPUR, 21 Mac- Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 diumumkan kerajaan hari ini mendapat reaksi positif daripada penjawat awam yang ditemui RTM dengan menyifatkan ia sebagai satu kelegaan dalam membuat persiapan menjelang perayaan.

Insentif secara one-off (sekali bayar) itu bukan sahaja membantu dalam membeli keperluan Aidilfitri, malah turut dimanfaatkan untuk perbelanjaan perjalanan pulang ke kampung halaman.

Farra Jalil, seorang penjawat awam, berkata bantuan berkenaan amat bermakna dalam menampung kos persiapan raya termasuk pakaian, pengangkutan, petrol dan tol.

"Bantuan RM500 ini sangat membantu saya dalam membuat persiapan Aidilfitri terutama dari segi pakaian dan pengangkutan. Sedikit sebanyak, ia meringankan perbelanjaan petrol dan tol. Terima kasih kepada kerajaan," katanya.

Bagi Audi Mohd Nor, bantuan tersebut meringankan beban persiapan raya, lebih-lebih lagi bagi mereka yang akan pulang ke kampung.

"Terima kasih kepada kerajaan atas bantuan Aidilfitri ini. Sedikit sebanyak, ia dapat meringankan beban persiapan raya terutamanya bagi saya yang pulang beraya tahun ini. Terima kasih PMX (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) atas sumbangan ini," katanya.

Sementara itu, Mazlina Baharom turut menyifatkan bantuan tersebut sebagai sokongan bermakna kepada penjawat awam.

"Alhamdulillah, terima kasih banyak. Bukanlah kita mengharapkan, tetapi apabila menerima bantuan ini, saya sangat bersyukur. Ia amat membantu," katanya.

Bagi Rizal Jumaat pula, bantuan khas ini sangat dinanti-nantikan khususnya bagi membuat pembelian di saat akhir sebelum raya.

"Bonus raya ini memang sangat membantu. Setiap tahun kami mengharapkan bantuan ini untuk persiapan saat akhir termasuk pemberian duit raya." katanya.

Seorang lagi penerima, Lalu Ihsan Hunain berkata bantuan tersebut amat membantu mereka yang perlu menanggung kos perjalanan tinggi untuk pulang ke kampung halaman.

"Bantuan ini sangat memudahkan urusan terutama dalam persiapan menjelang raya. Lebih-lebih lagi bagi saya yang pulang ke Sabah, yang mana perbelanjaan lebih tinggi. Bantuan ini sangat melegakan," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan BKK Aidilfitri RM500 kepada penjawat awam Gred 15 ke bawah yang akan dibayar mulai minggu depan.

Kerajaan turut bersetuju menyalurkan BKK Aidilfitri sebanyak RM250 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen melibatkan peruntukan mencecah RM900 juta.

2103 REAX BKK RAYA 2
Penjawat awam yang ditemui RTM; Farra Jalil, Audi Mohd Nor, Lalu Ihsan Hunain, Mazlina Baharom dan Rizal Jumaat

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA