KUALA LUMPUR, 29 November - Situasi dan bilangan penduduk terjejas banjir di Terengganu dan Kelantan tidak berubah pagi ini.
Di Kelantan, jumlah penduduk terjejas banjir tidak berubah iaitu 438 orang daripada 137 keluarga setakat pukul 7.30 pagi ini.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mereka berlindung di empat pusat pemindahahan sementara (PPS), masing-masing dua di jajahan Pasir Mas dan Bachok.
Sementara di Terengganu, sebanyak 31 penduduk daripada tujuh keluarga kekal berada di dua PPS di dua daerah setakat 8.00 pagi ini.
Berdasarkan sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, sejumlah 22 penduduk terjejas daripada lima keluarga masih berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol di Kuala Terengganu, manakala sembilan daripada dua keluarga ditempatkan di PPS SK Kampung Rhu Sepuluh di Setiu.
Walaupun situasi banjir di negeri itu dilihat hampir pulih, sekretariat jawatankuasa bencana itu mengingatkan orang ramai supaya terus berwaspada kerana hujan masih berterusan di beberapa tempat.