BINTULU, 28 September- Borneo International Kite Festival (BIKF 2024) dijangka jana pendapatan lebih RM30,000 sehari dengan 109 gerai jualan pelbagai produk tempatan, makanan tradisional, dan kraf tangan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, memberitahu festival tersebut memberi impak besar kepada ekonomi tempatan, terutamanya industri perhotelan di mana kadar tempahan hotel di Bintulu mencatatkan peningkatan sehingga 75 peratus, dengan lebih 200,000 pengunjung menghadiri festival tersebut.
Teks ucapan beliau dibacakan ADUN Jepak, Iskandar Turkee dalam majlis perasmian festival tersebut di Bintulu hari ini.
Ujarnya, ia merupakan platform penting dalam mempromosikan keterangkuman sosial dan pertumbuhan ekonomi.
Festival yang kini memasuki edisi ke-17, dianjurkan oleh Bintulu Development Authority (BDA) dengan kerjasama agensi tempatan.
Selari dengan tema “Low Carbon Industrial Hub 2030”, beberapa kempen kelestarian turut diadakan seperti Hari Cuci Malaysia dan Kempen Penggunaan Plastik Minimum untuk mempromosikan gaya hidup hijau.
Seramai 170 penyertaan dari 28 negara berkampung di Bintulu sempena festival tersebut yang bermula pada Rabu lepas sehingga esok.