fb fb fb fb fb

Bijak guna media sosial, elak isu 3R

Datuk Mohamad Nizar membaca teks ucapan Menteri Besar Pahang pada Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pahang, di Maran / FOTO RTM

MARAN, 17 September- Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengingatkan rakyat supaya bijak mengendalikan media sosial masing-masing.

Ia bagi memastikan hantaran yang dibuat tidak mencetuskan sebarang sentimen dan persepsi negatif yang boleh menggugat keharmonian negara.

Menurutnya, isu-isu melibatkan 3R iaitu agama, kaum dan institusi Raja-Raja Melayu perlu dibendung, supaya tidak mencetuskan ketegangan antara kaum serta mengekalkan kemakmuran yang dikecapi sejak sekian lama.

Malah katanya, hantaran yang menyentuh isu-isu negatif juga perlu dielakkan bagi memelihara kesejahteraan rakyat.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan rakyat untuk mengambil teladan daripada sejarah pembentukan Malaysia, agar perpaduan yang dirasai hari ini dapat terus dipupuk dan dinikmati.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohamad Nizar Najib, pada Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pahang, di Maran.

Program yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah itu dihadiri lebih 5,000 pengunjung dari seluruh pelusuk negeri Pahang.

Program sambutan kali ini turut dimuatkan pelbagai pengisian seperti pentomin, 'choral speaking', sajak serta persembahan oleh artis tempatan antaranya Tomok dan Zubir Khan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE