PUTRAJAYA, 23 Ogos - Program Kerjaya dan Keusahawanan Bioagrotek dan Biofarmaseutikal 2.0 (BeST 2.0) memberi impak positif terhadap pembangunan ekosistem bakat sains, teknologi dan inovasi (STI) negara.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, usaha itu sejajar aspirasi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 untuk melahirkan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi baharu dalam sektor ekonomi menjelang 2030.
"Kejayaan program BeST 2.0 sebenarnya menyokong inisiatif MOSTI dalam membina rangkaian ekosistem STI bakat negara yang lengkap.
Dari Malaysia Techlympics yang memupuk minat sains di sekolah, ke program STI 1003 yang mendekatkan pelajar dengan teknologi, sehinggalah BeST 2.0 yang memberi laluan kerjaya graduan untuk bekerja di industri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Peserta dan Pemain Industri BeST 2.0 di sini.
Sejak dimulakan pada tahun 2021, seramai 561 graduan telah dilatih dan mendapat penempatan kerja di 92 syarikat bioteknologi dan berasaskan bio.
Menurut Chang, pencapaian itu sekali gus melepasi sasaran asal 400 graduan bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dengan 91 peratus daripadanya berjaya diserap masuk dalam industri.