fb fb fb fb fb

Beruang berkeliaran di Ladang Pelantoh Selatan berjaya ditangkap

Beruang matahari yang berkeliaran di kawasan kediaman penduduk berjaya ditangkap tengah malam tadi

KEMAMAN, 9 Julai -Kira-kira 200 penduduk ladang Pelantoh Selatan, di sini menghela nafas lega selepas seekor beruang matahari yang berkeliaran di kawasan kediaman mereka berjaya ditangkap.

Beruang betina seberat 40 kilogram itu memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kemaman pukul 12.00 tengah malam tadi.
 
Menurut penduduk, Md Fauzi Abdullah, haiwan itu berkeliaran sejak pagi semalam dan memusnahkan tanaman mereka.

"Memang penduduk kini rasa selamat, PERHILITAN bertindak sangat cepat dan terus pasang perangkap," katanya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Terengganu, Loo Kean Seong, mengesahkan beruang berkenaan telah ditangkap malam tadi.

"Beruang tersebut akan dibawa dan dilepaskan ke habitat yang sesuai dengan kemandirian spesies sebagaimana habitat asalnya," katanya.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN